Berfikir..

Penat. Penat otak. Menguruskan sesuatu bukan mudah. Perlu kesabaran, kekuatan, semangat dan keyakinan. Tak boleh jadi macam lalang. Bila angin selatan datang, dia melentok ke sana. Bila angin utara datang, dia melentok ke sebelah lain pulak. Begitulah seterusnya.

Saya geram dan kecewa. Pulang saja ke rumah, saya tak tahu buat apa. Saya layari internet macam biasa dan 'ter'muhasabah diri bila baca artikel motivasi ni. Benar apa yang diutarakan. Emosi negatif tu memang sangat 'merosakkan' seseorang. Mengumpat, mengeluh, menangis...tak ada gunanya juga kalau sedang marah. Marah tu kan macam api. Kena cari 'air' untuk padamkannya. Bertenang dan berfikiran positif. Mendekatkan diri lagi denganNya...itulah yang terbaik.

Saya membesar bukan cara dimanja-manjakan dalam setiap perkara. Setiap saat dalam hidup saya belajar perkara baru. Bagaimana menjadi pemimpin. Bagaimana menjadi seorang pendengar yang baik. Bagaimana menjadi seorang jujur dan ikhlas dalam semua hal. Itu semua harus dibaja hari demi hari. Tak akan menjadi kalau diusahakan dalam satu hari. Kalau jadi pun, tak akan kekal. Perlu sentiasa terus dibaja dan disiram agar sikap-sikap yang baik menjadi akhlak dan peribadi tetap diri kita.

Saya tak pernah gilakan pangkat dan jawatan. Jika benar jawatan itu sangat penting dan saya fikir saya tak mampu nak memegangnya, saya akan lepaskan saja. Amanah tu berat. Amanah-amanah yang saya pegang sebelum ni pun saya tak jalankan dengan sebaik mungkin. Inikan pula ingin menambah amanah lain yang lebih berat. Tapi, amanah sebagai seorang hambaNya, sebagai muslim terutamanya, nak tak nak harus digalas. Setiap saat, setiap waktu, di mana-mana pun, mesti!

Betul. Seseorang tu mungkin belum siap dan bersedia untuk memimpin bila amanah diletakkan di bahunya. Tapi, kita belajar daripada pengalaman. Jika tak pernah, jadikannya permulaan dan pelajaran pertama untuk kita. Manusia memang tak lari dari buat silap. Orang-orang biasa ni tak ada yang sempurna. Masing-masing ada kelemahan, tapi kekuatan yang ada itulah yang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Sampai suatu masa, kelemahan mungkin tak dapat disembunyikan. Tapi kekuatan kitalah yang akan memainkan peranan supaya kelemahan itu menjadi samar dan tak dapat dikesan. Di situ, insyaAllah pasti timbul keyakinan dan percaya diri. Hebatkan penciptaan Allah.

Orang cakap kalau sedih luahkan saja. Menangis la sepuasnya kalau itu yang mampu mengurangkan rasa sedih. Apa guna air mata kan? Tapi, belajarlah untuk mencari kekuatan dan membetulkan kesalahan diri selepas itu. Kalau buat dosa, menyesal..tak ada maknanya jika tak melangkah ke depan lagi untuk berubah. Meninggalkan dosa lalu..tidak sesekali mengulanginya. Itulah yang seharusnya.

Allah ciptakan manusia bermacam-macam jenis. Kenapa? Antaranya supaya kita belajar sesuatu dari kaum yang lain. Supaya kita berkenal-kenalan sesama kita. Supaya kita berfikir akan Kebijaksanaan Ilahi..dan banyak lagi. Dulu saya hidup di kalangan bangsa sendiri. Teman-teman yang seagama. Skop pemikiran saya hanya sekitar yang 'ini'. Tapi sekarang setelah saya campakkan diri saya ke tempat lain, saya mula berfikir tentang 'ini' dan 'itu' juga. Saya mengenal apa itu toleransi. Saya belajar bagaimana yang dikatakan menghormati orang yang tak 'sekufu' dengan saya. Semuanya saya belajar untuk teruskan hidup yang mencabar ni. Ada masa tertentu saya tegas dan ada masa tertentu kena berfikir cara untuk berlembut dalam perkara yang serius.

Apa-apapun, kita memang tak boleh mencapai sesuatu dengan usaha sendiri saja. Perlukan sokongan dan kerjasama orang lain juga. Macam tu juga kalau nak berdakwah. Ada dakwah yg boleh buat seorang diri tapi ada juga wajib dilakukan beramai-ramai supaya efektif. Wallahu'alam..

Huh..saya rasa senang dengan menulis seperti ni. Terima kasih ya Allah..atas segalanya..alhamdulillah.