Yang baik-baik saja

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Sebaik selesai menaip entry sebelum ni – Terbuka dan tertutup – saya masih terfikir-fikir akannya.
Bagaimana harus dibetulkan fahaman yang salah orang-orang yang jahil agama?
Tidakkah mereka sangat perlu dikesiankan dan dibantu supaya kembali ke landasan yang hakiki?
Ya, mereka diberi nasihat tetapi enggan menerimanya..maka mereka akan kekal dalam kejahilankah?
Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.
Ini belum termasuk orang yang berilmu (tidak jahil sama sekali) tetapi tetap enggan mentaati perintahNya..
Semoga kita dijauhkan menjadi orang-orang sebegitu. Aamin..
…
Sebagai seorang saudara seagama, apakah sekecil-kecil perbuatan yang boleh kita lakukan ya?
Dalam berfikir dan mencari jawapan yang menyedapkan hati, saya terjumpa pesanan / tips daripada Sheikh Abdul Qadir Jailani tentang 'bersangka baik' . Molek rasanya untuk direnungkan dan dipahat dalam hati setiap daripada kita. InsyaAllah..
 

Jika engkau bertemu seseorang,maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.
Ucapkan dalam hatimu,
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku."

Jika engkau bertemu anak kecil,
maka ucapkanlah,
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah sedangkan diriku telah banyak bermaksiat padaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku."

Jika engkau bertemu orang tua,
maka ucapkanlah (dalam hatimu),
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seseorang yang berilmu,
maka ucapkanlah (dalam hatimu),
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seseorang yang bodoh (jahil),
maka katakanlah (dalam hatimu),
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu) sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir,
maka katakanlah (dalam hatimu),
"Aku tidak tahu bagaimana keadaanya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk."

 

SubhanAllah. Sungguh hebat Sheikh Abdul Qadir Jailani ini. Ternyata untuk memiliki hati yang benar-benar bersih tu memerlukan kekuatan, kesabaran, dan usaha yang tiada putus.

Nak mengekalkan sikap berfikiran positif, Anda kena jadi diri sendiri sepenuhnya. Anda kena bersikap baik sepenuh masa, bercakap baik-baik, bersangka yang baik-baik dan berkata yang baik-baik dalam hati Anda, walaupun suasana di luar nampak buruk. Always look to the bright side of your life!

Sikap suka bersangka baik akan mengubah suasana menjadi baik. Sikap bersangka buruk akan mengubah suasana menjadi buruk, berterusan menjadi bertambah buruk jika Anda kekal bersangka buruk. Orang-orang cemerlang sentiasa bersangka baik sepanjang masa, sebab itu mereka cemerlang sepanjang masa. Orang lain merasa agak sukar 'kejar' tahap mereka. –imotivasi.com
 
Benar! Maka mari kita bersama untuk bersangka baik sentiasa! Berusaha sedaya mungkin. Memang permulaannya amat perit dan sering mengundang gundah, geram dan seangkatan dengannya. Namun, kalau hasilnya manis dan menjadi asset berharga untuk kebahagian akhirat, kenapa tidak kan? ;)

Berhubung dengan perkara yang awal-awal saya ungkapkan tadi..
Mereka yang tak mahu menerima nasihat – berdoalah saja supaya Allah permudahkan hidayah untuk mereka. Hidayah perlu ada usaha sendiri, tapi sekurang-kurangnya kita bantu supaya hidayah itu benar-benar hadir. Nasihat tak semestinya diterima orang. Cukuplah sebagai membuka sedikit hati orang untuk berfikir. Sekurang-kurangnya…

..dan bersangka baiklah pada mereka yang jahil. Kalau kita rasa dalam golongan yang tahu, belajar dan faham agama, kenalah muhasabah banyak-banyak. Ternyata senang sekali untuk kita ternoda dengan dosa (sebab tahu salah tapi tetap buat), berbanding mereka yang belum tahu apa-apa. Astaghfirullahal'azim…

  Doa!
..dan jangan pernah tamak dalam berdoa. Doakan juga untuk ibu bapa, keluarga, kawan-kawan, umat islam yang lain..supaya kita sama2 bersama di 'penghujung' nanti. Pengakhiran yang penuh bahagia..insyaAllah.

Pernah saya taip di Facebook 
'Ya Allah..permudahkah segala urusanku…'

Apa yang membuat saya terkelu dan terinsaf..seorang teman membalas…
'..dan permudahkanlah urusan keluarga, kawan2ku ..'

Nah, dalam tak sedar tiba-tiba jadi tamak! Isk..isk..terima kasih teman kerana menyedarkan saya biarpun ungkapan yang seringkas itu. Terima kasih ya Rabb kerana Kau bukakan hatiku untuk melihat kebenaran dalam jasadku yang penuh palitan dosa..Allahh Akbar…

 

Berdoa dan bersangka baiklah untuk semua..;)


 

Ya Allah! Matikanlah kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau Tamatkan keatas kami dengan sehodoh-hodoh kesudahan.

Ya Allah! Kami pohon kepadamu keselamatan pada agama, kesihatan pada badan, pertambahan pada ilmu, keberkatan pada rezeki, bertaubat sebelum mati, mendapat rahmat ketika mati dan mendapat keampunan selepas mati. Ya Allah permudahkanlah keatas kami sakaratulmaut dan terlepas dari api neraka dan mendapat keampunan ketika hisab.

Ya Allah ! hidupkanlah kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman dan himpunkanlah kami dengan iman dan masukkanlah kedalam syurga dengan iman, dengan rahmat Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.