Selamat berjuang!

Islam dan politik tak bisa dipisahkan. Kedua-duanya harus bergerak seimbang di landasan yang benar, jauh dari kebatilan. Tapi, seiring dengan usia dunia yang hampir ke penghujung, sebagaimana janji-janjiNya, yang batil itulah sedang enak menguasai hari-hari tersisa ini.

Saya bukan penggemar politik tapi saya meletakkan stetoskop iman di alam realiti untuk menilai pemimpin-pemimpin Islam akhir zaman yang harus saya bantu julangkannya! Mahu atau tidak, suka atau benci, saya merasakan adanya kewajipan sebagai Muslim itu untuk terus menggilap sinar Islam di arena kotor politik yang wujud di kalangan pemimpin ummah sendiri. ..dan hari ini saya mahu bicarakannya mengikut ideologi sendiri.

Seorang teman yang kenali di alam maya pernah menanyakan saya, 'jika kamu ingin memilih calon suami nanti, orang yang memperjuangkan parti A atau B yang akan kamu pilih?' Terkedu saya untuk beberapa saat. Sampai begitu sekalikah saya harus mempolitikkan hidup sendiri? Waktu itu saya tidak berfikir terlalu panjang untuk pantas mengatakan..'seorang Muslim yang taat..itulah pilihan saya' dan seperti yang saya jangkakan teman saya tak berpuas hati dengan jawapan yang sedemikian. Menurutnya, saya harus bisa membuat keputusan yang lebih spesifik kerana dunia sekarang mengkehendaki semua orang untuk mencabut satu saja antara yang tersedia. Pilihan A mahupun B akan memberi impak pada institusi kekeluargaan sekalipun itu hanya politik dunia. Tapi, benar, sekali lagi saya berfikir dengan lebih matang, Islam dan politik tak bisa dipisahkan...

Semenjak di bangku sekolah, kemudian di pusat matrikulasi dan sehingga kini bergelar mahasiswi, saya dikelilingi banyak orang yang lantang menuturkan hujah-hujah politik yang mereka percaya dari kaca mata masing-masing. Saya? Tiada kekuatan itu..kerana saya sekarang memilih suatu sudut yang mana akan ada waktu-waktu yang dapat mrmperlihatkan kepada saya politikus-politikus itu menanggalkan topeng peribadi mereka. Tetapi, sebegitu mudah dan beruntungkah saya? Hmm..bagi yang memahami, pasti lebih mengerti.

Hari ini, sedang saya menghabiskan sisa-sisa nasi di pinggan, berita di kaca televisyen menggamit tumpuan saya supaya terarah kepadanya. Sodomi? Astaghfirullah...saya fikir isu hina dan jijik sebegitu tak akan dipakai lagi, tapi naifnya saya sebenarnya kerana itulah permainan manusia dewasa ini. Sedikit masa saja saya tinggalkan sebentar ruangan itu, tapi hari ini saya kembali meraba-raba mencari kebenaran di sebalik wabak kebatilan. Ya Allah, selamatkan orang-orang yang teraniya di kalangan hamba-hambaMu yang taat, ikhlas dan redha...Sesungguhnya hanya Engkaulah saja Yang MAHA MENGETAHUI lagi MAHA ADIL.

Saya akan terus mengikuti kronologi isu ini dan terus berdoa agar kezaliman tidak dikembang biakkan lagi di bumi Malaysia dan dunia umumnya. Amin.

Bersama-samalah semua sahabatku..perjuangkanlah yang benar!